9 PBT di Selangor guna aplikasi pintar Smart Selangor Parking

KLANG: Sembilan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor sudah melaksanakan pembayaran parkir menggunakan aplikasi pintar Smart Selangor Parking (SSP).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, berkata ia selaras komitmen kerajaan negeri untuk merealisasikan Selangor sebagai ‘Smart State’ terulung di rantau ASEAN menjelang 2025.

Katanya, Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan menggunakan aplikasi SSP mulai esok.

“Ketika ini, hanya Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) belum menggunakan aplikasi ini.

“Saya yakin beberapa bulan lagi, penduduk di Kuala Langat juga akan boleh menggunakan aplikasi ini selepas pihak Selangor Smart Delivery Unit (SSDU) menyelesaikan sedikit masalah teknikal.

“Dua lagi PBT iaitu Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) tidak menggunakan sistem bayaran parkir. Jadi, tiada keperluan untuk dua PBT ini menggunakan aplikasi SSP,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran SSP peringkat MPK di sini, hari ini. Turut hadir Yang Dipertua MPK, Datuk Mohd Yasid Bidin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Sementara itu, Mohd Yasid berkata, walaupun MPK mula menggunakan aplikasi SSP, aplikasi sedia ada iaitu Smart Parking MPKlang masih boleh terus digunakan.

“Aplikasi Smart Parking boleh terus digunakan sehingga kontrak MPK bersama syarikat ini tamat tahun depan.

“Pelancaran SSP pada hari ini akan memberi lebih pilihan kepada pengguna dan penduduk Klang, malah sistem kupon juga masih diteruskan,” katanya.

Leave A Reply