MB: Sasar capai 46 peratus Smart Selangor akhir tahun ini

SERI KEMBANGAN, 28 JAN: Selangor menyasarkan pencapaian 46 peratus bagi inisiatif pelaksanaan Negeri Pintar (Smart Selangor) menjelang hujung tahun ini, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata 12 domain yang dikendalikan oleh Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) sejak 2016 itu dilaksanakan berperingkat.

“Sehingga November tahun lalu, pencapaian Selangor ke arah Negeri Pintar mencapai 26 peratus dan kita menjangkakan mencapai 46 peratus hujung tahun ini.

“Usaha pelaksaaan 12 domain termasuk e-tunai, pengurusan alam sekitar, ekonomi dan pentadbiran negeri itu dilaksanakan berperingkat sejak 2016,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Penutup Program Perkampungan Menara Gading Selangor di Universiti Putra Malaysia.

Belanjawan Selangor 2020 memperuntukkan RM50 juta dengan tumpuan pembangunan ‘Selangor Gigabit Network’ (SeGNet) dan ‘Hybrid Data Centre’ yang bakal memperkenalkan penggunaan jaringan intranet kerajaan berkelajuan tinggi dan menerajui penggunaan teknologi pengkomputeran awan untuk tujuan pemulihan data ketika bencana.

Leave A Reply