Penduduk Sepang `dihadiah’ Bas Coaster Smart Selangor

SHAH ALAM, 11 JAN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) ‘menghadiahkan’ perkhidmatan percuma Bas Coaster Smart Selangor kepada penduduk bawah pentadbirannya sejak 1 Januari lalu.

Yang Dipertuanya, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata bas mini itu beroperasi di dua laluan baharu membabitkan SPG 3 (Seroja BBST-Terminal Cyberjaya) dan SPG 4 (Seroja BBST-Terminal IOI City Mall Putrajaya).

Katanya, semua bas yang disediakan mampu menampung 20 hingga 30 orang pada satu-satu masa.

“Bas ini sesuai digunakan di taman perumahan dan kawasan yang agak sempit kerana saiznya kecil dengan panjang kira-kira tujuh meter (m) manakala lebar 2.1m.

“Ia menggunakan enjin diesel 4 Cylinder Euro III dan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), sistem kedudukan global (GPS) termasuk jaringan Wifi,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Kata Mohd Fauzi, MPSepang menjadi pihak berkuasa tempatan pertama di Selangor menyediakan perkhidmatan yang boleh menurun dan mengambil penumpang berkonsepkan ‘First Mile Last Mile melalui bas mini itu.

“Penumpang yang mahu ke Hospital Serdang boleh turun di lobi hospital dan Terminal Bas IOI City Mall. Mereka tidak lagi perlu berjalan kaki sejauh 200 meter dari perhentian bas yang terletak di laluan jalan utama.

“Semoga usaha kami dan Kerajaan Negeri dapat memberikan manfaat kepada penduduk khususnya di Sepang dan Selangor amnya,” katanya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dijadual merasmikan perkhidmatan Bas Coaster pada 14 Januari ini.

 

 

Leave A Reply